Parit Buntar, 13 February 2026 – Koridor Utiliti Darul Ridzuan Sdn. Bhd. (KUDR) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Daerah Kerian (MDK) sebagai langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus pemasangan dan pengurusan infrastruktur utiliti di Negeri Perak. MoU ini menjadikan MDK sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama bagi tahun 2026 yang mengikat kerjasama rasmi bersama KUDR, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkemas proses, memperjelas peranan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di peringkat daerah.

Kerjasama ini mencerminkan pemerkasaan peranan KUDR sebagai entiti penyelaras utama utiliti bawah tanah negeri dan Agensi Sehenti (One Stop Agency – OSA) bagi urusan permohonan permit, pemantauan serta pengurusan data utiliti secara lebih tersusun dan bersepadu. Dalam tempoh hampir dua tahun beroperasi, KUDR semakin diterima oleh PBT, agensi teknikal, pemain utiliti dan masyarakat sebagai platform penyelarasan yang menyokong pembangunan secara cekap, selamat dan berintegriti.

Menurut YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, kerjasama seperti ini amat penting untuk memperkukuh peranan PBT dan memudahkan urusan rakyat.

"Apabila semua PBT bergerak seiring dan proses diselaraskan, urusan permohonan menjadi lebih mudah, keputusan lebih cepat dan birokrasi berlapis dapat dikurangkan. Inilah yang kita panggil sebagai 'Ease of Doing Business' yang sebenar. Apabila pelabur, pemaju dan syarikat utiliti melihat bahawa ekosistem kita tersusun serta boleh dijangka (predictable), maka mereka tidak akan teragak-agak untuk menanam modal di negeri Perak. Apabila pelaburan masuk, rakyat akan menikmati limpahan peluang ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik," katanya.

KUDR sedang giat memperluas kerjasama rasmi melalui pemeteraian MoU bersama semua baki PBT di Negeri Perak. Ketika ini, beberapa PBT berada pada peringkat akhir semakan draf MoU antaranya Majlis Daerah Selama, Majlis Daerah Perak Tengah dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar sebagai usaha ke arah penyelarasan pengurusan utiliti yang lebih konsisten dan bersepadu di seluruh negeri.

Beliau memaklumkan bermula 15 Februari 2026, semua pihak berkepentingan di bawah seliaan MDK hendaklah mengambil maklum, menyesuaikan diri serta mengguna pakai perkhidmatan KUDR bagi memastikan kelancaran dan penyelarasan yang lebih kemas dalam pelaksanaan setiap projek pembangunan di daerah tersebut.

Sementara itu, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merangkap Pengarah Eksekutif KUDR, menegaskan bahawa pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi untuk mendepani cabaran pembangunan semasa.

"Pemeteraian MoU ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh peranan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) sebagai OSA yang kini semakin diyakini dalam ekosistem industri negeri. Selain itu, kolaborasi MDK dan KUDR ini juga dilihat boleh menjadi pemangkin kepada daerah Kerian dalam mencapai sasaran Rancangan Perak Sejahtera 2030, khususnya melalui pembangunan yang lebih terancang, berasaskan data dan berdaya saing.

Di daerah Kerian khususnya, penyelarasan utiliti menjadi sangat kritikal bagi menyokong projek berimpak tinggi seperti Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP). Pendekatan ini selari dengan Agenda 4 – Program Mesra Pelabur di bawah Rancangan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan ekosistem pelaburan yang lebih cekap, terancang dan boleh dijangka, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Melalui integrasi data utiliti yang tepat, pembangunan pangkalan data utiliti negeri secara digital dan berpusat serta penyelarasan permit secara sistematik, KUDR menyokong Agenda 6.2 – Ekonomi Digital dan Agenda 6.3 – Pembuatan Keputusan Dipacu Data, di samping memperkukuh pemerkasaan tadbir urus projek berkepentingan negeri melalui perancangan yang lebih berasaskan data dan peningkatan ketelusan proses kelulusan. Dalam masa yang sama, pendekatan ini memperkukuh Agenda 8 – Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan melalui penyelarasan yang lebih konsisten antara pemohon, PBT dan agensi teknikal.

Selain itu, pelaksanaan pemantauan digital dan penempatan Pegawai Koridor Daerah menyokong kawal selia pelaksanaan di lapangan secara lebih sistematik dan responsif. Inisiatif ini mengurangkan konflik utiliti, mengawal kos baik pulih jalan serta melindungi aset infrastruktur kerajaan. Manfaatnya dirasai terus oleh rakyat melalui peningkatan keselamatan pengguna jalan raya, penyelesaian aduan yang lebih pantas dan pembangunan yang lebih selamat serta mampan, selaras dengan matlamat Sejahtera Ekonomi dan Sejahtera Sosial dalam Rancangan Perak Sejahtera 2030."

Datuk Redza Rafiq Abdul Razak turut memaklumkan bahawa KUDR komited meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan melalui pemerkasaan sistem atas talian KUDRAT bagi memudahkan urusan permohonan, semakan dan penyelarasan permit secara lebih tersusun dan telus.

Tuan Helmi bin Yusof@Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, menegaskan komitmen MDK dalam memperkukuh sistem perancangan dan pembangunan infrastruktur di daerah ini.

"Majlis Daerah Kerian sentiasa komited untuk meningkatkan keberkesanan sistem perancangan dan pembangunan infrastruktur di daerah ini. Usaha kolaborasi bersama KUDR ini amat signifikan dalam memastikan pengurusan koridor utiliti dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, terancang dan mampan," katanya.

Beliau turut menambah bahawa MoU ini akan menjadi landasan kukuh dalam meningkatkan kecekapan penyelarasan utiliti serta mengurangkan konflik teknikal ketika pelaksanaan projek pembangunan.

"Dengan adanya MoU ini, ia akan meningkatkan kecekapan penyelarasan utiliti, mengurangkan konflik teknikal semasa kerja-kerja pembangunan serta mempercepatkan kelulusan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat."

Majlis pemeteraian MoU ini bukan sekadar simbolik kerjasama antara dua entiti, malah mencerminkan pendekatan baharu dalam mengurus aset utiliti negeri secara lebih strategik, bersepadu dan berasaskan data. Melalui penyelarasan ini, Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh ekosistem pembangunan yang lebih cekap, selamat dan mampan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di peringkat daerah dan negeri. Usaha ini turut menyumbang kepada pembangunan yang lebih selamat dan mampan, selaras dengan matlamat kesejahteraan sosial yang juga merupakan elemen utama Rancangan Perak Sejahtera 2030.