Ipoh, 14 February 2026 – Penduduk Medan Klebang Prima, Chemor bakal menikmati sistem kumbahan yang lebih selamat dan berfungsi dengan baik susulan kelulusan peruntukan RM3.5 juta oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi kerja membaik pulih Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan saluran paip pembentungan di kawasan tersebut.
Masalah ini berpunca daripada mendapan tanah di beberapa lokasi yang menjejaskan jajaran paip kumbahan dan menyebabkan sebahagian sistem gagal berfungsi dengan sempurna, sekali gus memberi kesan kepada alam sekitar serta kesejahteraan penduduk.
Keadaan ini telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk sejak beberapa tahun lalu, termasuk gangguan sistem kumbahan, limpahan air sisa dan bau kurang menyenangkan yang menjejaskan keselesaan harian serta menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan. Masalah yang berlarutan ini turut memberi tekanan kepada penduduk dan menjejaskan kualiti hidup mereka.
Skim perumahan yang merangkumi 614 unit rumah kos rendah dan enam unit kedai desa ini dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melalui anak syarikatnya Majuperak Holdings Berhad (MHB) dan telah diduduki sejak tahun 2006.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata kelulusan peruntukan ini membolehkan kerja membaik pulih dilaksanakan secara menyeluruh sebelum sistem diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK).
"Isu yang sekian lama membelenggu penduduk ini kini bakal diselesaikan secara komprehensif menerusi tindakan pantas serta pelaksanaan kerja naik taraf yang dirancang rapi, sejajar dengan keperluan teknikal dan garis panduan pihak kawal selia" katanya.
Menurut beliau, projek ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi Perak Sejahtera 2030 (PS2030) serta mendukung agenda Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan bandar lestari, persekitaran bersih dan kesejahteraan rakyat. Inisiatif ini bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi satu langkah strategik yang membuktikan kesungguhan Kerajaan menterjemahkan dasar kepada tindakan yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kesinambungan yang kukuh antara kelulusan fiskal, pelaksanaan projek dan manfaat kepada komuniti mencerminkan pendekatan tadbir urus berasaskan hasil yang diamalkan Kerajaan. Pendekatan ini memperlihatkan keutamaan terhadap akauntabiliti, ketelusan serta keberkesanan pelaksanaan di peringkat akar umbi, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat."
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Encik Muhammad Yazurin Sallij berkata kerja membaik pulih melibatkan pemeriksaan teknikal menggunakan CCTV, penggantian paip rosak serta pemulihan jajaran pembentungan bagi memastikan sistem kembali berfungsi dengan sempurna sebelum penyerahan kepada IWK dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Proses tender terbuka akan dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perolehan Kerajaan Malaysia bagi memastikan ketelusan serta pematuhan spesifikasi teknikal.
Peruntukan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Tambun merangkap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta kepada PKNPk dan wakil penduduk kawasan.
