Ipoh, 28 January 2026 – Majuperak Holdings Berhad (MHB) hari ini memeterai Perjanjian Konsesi selama 21 tahun bersama Majlis Daerah Kampar (MDK) bagi pembangunan dan pengoperasian Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung, salah satu aset pelancongan ikonik negeri Perak.

Perjanjian berkenaan melibatkan kawasan seluas 79.54 ekar akan dilaksanakan secara berfasa dengan tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan awam, infrastruktur serta pengurusan destinasi yang lebih sistematik, selamat dan mampan.

Pembangunan Gua Tempurung bakal menawarkan pengalaman baharu dalam penginapan berkonsepkan alam semula jadi, aktiviti rekreasi dan lasak, di samping memperkukuh tarikan sedia ada yang tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan piawaian keselamatan pihak berkuasa berkaitan.

Pengalaman lawatan ke Gua Tempurung akan dipertingkatkan melalui elemen interpretasi dan visual interaktif seperti paparan infografik serta pencahayaan selaras dengan pendekatan pembangunan terkawal yang menitikberatkan aspek pemeliharaan alam sekitar.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, berkata Kerajaan Negeri melihat sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi pengalaman yang mampu menjana nilai tambah berterusan kepada negeri dan komuniti setempat.

"Pembangunan pelancongan di Perak dilaksanakan secara berfasa dan bersepadu melalui kerjasama pelbagai pihak, dengan penekanan kepada kelestarian, keselamatan serta penglibatan komuniti tempatan," katanya. Beliau berkata inisiatif pembangunan Gua Tempurung selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, di samping membuka peluang kepada usahawan tempatan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menyertai rantaian nilai pelancongan negeri.

Pengerusi MHB, Datuk Redza Rafiq, berkata Gua Tempurung mempunyai keunikan tersendiri sebagai destinasi ekopelancongan, termasuk laluan ekspedisi gua sepanjang 1.9 kilometer yang merentasi gunung dari Timur ke Barat melalui sungai bawah tanah.

Menurut beliau, pembangunan ekosistem Gua Tempurung akan dilaksanakan secara kompetitif dan lestari dengan mengambil kira pemeliharaan ekosistem batu kapur, sejajar dengan usaha menjadikan Perak sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa yang mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Muhammad Yazurin Sallij, berkata perjanjian konsesi tersebut menyediakan platform pembangunan ekopelancongan yang lebih berstruktur dan profesional.

"Konsesi jangka panjang ini membolehkan perancangan pengurusan destinasi dibuat secara menyeluruh, termasuk peningkatan standard keselamatan, penambahbaikan kemudahan serta aliran pendapatan yang lebih mampan, di samping mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat," katanya.

Yang Dipertua MDK, Ahmad Suqairy Alias, berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik berkenaan kerana ia menyediakan rangka tadbir urus yang lebih jelas dalam pengurusan Gua Tempurung.

Menurut beliau, MDK akan terus memastikan pelaksanaan konsesi itu mematuhi keperluan keselamatan, kelestarian alam sekitar serta kepentingan awam sepanjang tempoh perjanjian.

Majlis menandatangani perjanjian konsesi tersebut disaksikan oleh Dato' Seri Saarani serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak dan Kumpulan MHB dan berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.